Sunday, September 2, 2018

Saturday, September 1, 2018

Pengertian Ibadah Haji



Pengertian Haji

Haji (Arab/Jawi: حج Ḥajj "ziarah") adalah ziarah suci yang dilakukan umat Islam ke Makkah, Arab Saudi setiap tahun dan merupakan yang terbesar di dunia. Haji adalah rukun ke-5 yang wajib dilaksanakan seperti yang tertakluk dalam Rukun Islam, kewajipan agama ini hendaklah dilakukan oleh umat Islam sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka bagi yang berkemampuan dan larat mengerjakannya. Haji menunjukkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan Muslim serta penyerahan jiwa kepada Allah.

Ziarah ini dilakukan pada 8 hingga 12 hari bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam takwim Islam. Disebabkan takwim tersebut merupakan kalendar qamari dan ia mengandungi 11 hari kurang berbanding kalendar masihi, maka hari pelaksanaan haji mengikut tarikh Masihi sering berubah dari tahun ke tahun.


Etimologi

Perkataan "haji" berasal daripada bahasa Arab iaitu hajj (حج) yang membawa maksud ziarah ke tempat tertentu dalam waktu yang lama untuk menunaikan kewajipan agama. Dalam segi bahasa itu juga, haji boleh membawa maksud menuju kepada Allah Yang Maha Agung. Dari segi syarak pula, ia membawa maksud mengunjungi rumah Allah dalam bulan-bulan haji atas sebab melakukan pekerjaan seperti wukuf di Arafah, tawaf, sa'i dan sebagainya menurut syarat-syarat dan rukun-rukun tertentu dengan niat semata-mata kerana Allah.